Monday, May 4, 2009

Khasiat Halia

Halia

Tumbuhan ini berasal dari Asia Selatan (India).Halia (Zingiber officinale) merupakan tumbuhan herba yang tumbuh sepanjang tahun. Hidup liar di ladang-ladang tanah lembab serta memperolehi banyak sinar matahari.

Kandungan kimia

Halia mengandungi banyak atsiri, damar, mineral sineol, fellandren, kamfer, borneol, zingiberin, zingiberol, gigerol(misalnya di bahagian bahagian merah), zingeron, lipidas, asam aminos, niacin, vitamin A, B1, C dan protein. Minyak halia berwarna kuning dan kental. Minyak ini kebanyakkannya mengandungi terpen, fellandren dan dextrokamfen.

Kandungan & Manfaat

Menurut farmakologi Belanda, umbi Zingiber officinale mengandungi 6% bahan ubat-ubatan yang sering diguna sebagai rumusan ubatan di 23 buah negara. Sejak dahulu lagi , halia dipergunakan sebagai ubat atau bahan untuk memasak. Halia boleh merangsang kelenjar pencernaan, baik untuk membangkitkan nafsu makan dan pencernaan.

Halia berguna sebagai ubat gosok untuk badan dan sakit kepala. Halia segar yang ditumbuk halus boleh digunakan sebagai ubat luar. Rasa dan aromanya pedas dapat menghangatkan tubuh dan mengeluarkan peluh. Minyak atsirinya bermanfaat untuk menghilangkan rasa lenguh, anti inflamasi dan anti bakteria. Air perahan umbinya (akar tongkat) digunakan untuk penyakit katarak. Ia juga amat baik untuk mengubati luka luar dan dalam, merawat gatal-gatal(umbinya ditumbuk halus) dan juga dapat mengubati gigitan ular.

Kegunaan lain

Sakit kepala atau migrain, batuk, masuk angin, reumatik, lenguh pinggang, mengeluarkan angin dari perut, bengkak-benkak, mual dan mabuk dalam perjalanan, panau, digigit ular, ubat cacing gelang dan gatal akibat gigitan serangga.

Khasiat Kunyit

Kunyit

Kunyit ditanam di mana-mana. Di negara-negara Timur, kunyit digunakan sebagai pengganti saffron dan warna kuning(digunakan sewaktu menggoreng ikan dan ayam) dan sebagai ubat di negara seperti China, Jepun, Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia ia ditanam dan boleh didapati tumbuh meliar di merata tempat. Kunyit (Cucurma domestica) adalah tumbuhan yang tumbuh sepanjang tahun. Menurut WHO, kunyit merupakan tumbuhan ubat-ubatan yang paling banyak digunakan di dunia.

Kandungan kimia

Kunyit merupakan jenis temu-temuan yang mengandungi senyawa kimia berkeaktifan fisiologi iaitu minyak atsiri dan mengandungi senyawa kurkumin. Akar kunyit mengandungi pati dan getah. Minyak atsiri juga memberi aroma harum dan rasa khas pada umbinya. Kunyit mengandungi curcumin(zat berwarna kuning), turmeron, zingiberen, turmerol(minyak turmerin yang menyebabkan aroma dan wangi kunyit), lemak, pati dan damar.

Umbi akar yang berumur lebih dari satu tahun dipakai sebagai ubat (umbi akar bersifat mendinginkan, membersihkan, mempengaruhi bahagian perut, merangsang, melepaskan lebihan gas di usus, menghentikan pendarahan dan mencegah pengentalan darah) selain dari itu juga digunakan sebagai bahan dalam masakan. Kunyit juga digunakan sebagai ubat anti gatal dan anti kejang serta mengurangkan pembengkakan selaput lendir mulut. Kunyit juga diminum sebagai ekstrak atau diguna sebagai salap untuk mengubati bengkak.Kunyit juga berkhasiat untuk menyembuhkan hidung yang tersumbat, caranya dengan membakar kunyit dan menghidunya.

Berdasar perubatan tradisional cina, umbi akar kunyit digunakan ubat untuk sakit dada, perut, sakit lengan dan sakit pada saat haid serta luka luka. Kunyit dianggap sangat mujarab untuk menyembuhkan haid yang tidak teratur, melancarkan aliran darah dan melarutkan gumpalan darah.

Khasiat Lengkuas

Herba merupakan tumbuhan ajaib yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.Herba digunakan secara meluas dalam masyarakat sejak zaman dahulu lagi disebabkan oleh keberkesanannya untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.Selain itu,pengambilan herba ini juga biasanya tidak memberikan kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan.Secara amnya,jenis herba amatlah banyak sekali,dan bahagian tumbuhan yang biasanya digunakan ialah akar,daun,mahupun batang.Penggunaan cara tradisional yang paling meluas ialah dengan merebus bahagian-bahagian tumbuhan yang diperlukan sebelum diminum/digunakan.Mari kita mengenali beberapa jenis tumbuhan herba yang biasa digunakan.... :)

LENGKUAS

Terdapat 2 jenis tumbuhan lengkuas iaitu umbi(akar) berwarna putih(biasanya dipakai sebagai penyedap makanan) dan umbi merah(untuk ubat). Batangnya terdiri dari susunan pelepah daun. Daunnya bulat panjang dimana daun bahagian bawah terdiri daripada pelepah sahaja manakala bahagian atas pula lengkap dengan helaian daun. Umbinya berserat kasar dan beraroma khas. Lengkuas mengandungi minyak alpinen, kamfer, methyl-cinnamate. Lengkuas berkhasiat sebagai anti kulat, anti bakteria, menghangatkan, membersihkan darah, menambah nafsu makan, mempermudah pengeluaran angin dari dalam tubuh, mencairkan kahak, mengharumkan serta merangsang otot.

Kegunaan lain

Panau, kesakitan sewaktu haid, ubat untuk penyakit kulit, bengkak limpa, menguatkan otot yang lama tidak digerakkan dan membersihkan darah.

Sumber ; http://www.borneofocus.com

Saturday, May 2, 2009

Kaedah elak telefon diceroboh

SKMM bertindak lindungi pemilik peralatan multimedia

KEPELBAGAIAN teknologi komunikasi, daripada asas hinggalah paling canggih kini menjadi keperluan hidup. Mengapa tidak, banyak urusan harian boleh dilakukan dengan mudah hasil kepesatan teknologi.

Namun, tidak semua individu menjadi pengguna teknologi mengikut kaedah atau cara betul. Tidak dinafikan, segelintir pihak menyalahgunakan telefon bimbit dan laman sosial di internet untuk menganiaya atau menceroboh hak peribadi orang lain dengan menipu, mengganggu, menuduh dan menabur fitnah.

Selain faktor pengguna sendiri yang menyeleweng, gejala negatif berhubung penyalahgunaan teknologi ini boleh berpunca daripada kealpaan sesetengah pihak terhadap implikasi buruk andai tidak berhati-hati menggunakan teknologi.

Apabila pengguna tidak menyedari etika, batasan dan risiko penggunaan teknologi komunikasi yang digunakan, tidak mustahil mereka sendiri akan terdedah dengan risiko menjadi pihak dianiaya atau terjebak dalam kes penyalahgunaan teknologi.

Di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjadi badan yang mempunyai kuasa serta bertanggungjawab dalam bidang kawalan industri teknologi dan multimedia.


Berteraskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM bertanggungjawab melaksana dan mempromosikan dasar kerajaan dalam sektor komunikasi dan multimedia. Suruhanjaya ini berperanan mewujudkan rangka kerja kawalan baru terhadap setiap cabang industri ini.

Untuk berkongsi maklumat mengenai tanggungjawab dan etika pengguna teknologi komunikasi dan multimedia, Tanya Pakar mendapatkan pandangan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berhubung isu ini.

Sejak akhir-akhir ini, budaya menyebar khidmat pesanan multimedia (MMS) baik dalam bentuk paparan gambar atau video dilihat makin menjadi-jadi. Kita bimbang senario ini memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan kegiatan tidak sihat. Apa nasihat SKMM terhadap golongan ini bagi mengelak diri menjadi mangsa atau terbabit secara langsung dalam perbuatan tidak bertanggungjawab ini?

Penyedia perkhidmatan sentiasa digalak memperkenalkan teknologi baru. Ini termasuk perkhidmatan MMS yang membolehkan pengguna menghantar dan menerima gambar serta video ringkas menerusi perkhidmatan jalur lebar.

Penggunaan teknologi komunikasi yang canggih semakin berkembang dari semasa ke semasa. Teknologi ini adalah neutral. Baik atau buruknya bergantung kepada cara ia digunakan.

Apapun, SKMM sentiasa menggalak penggunaan secara positif untuk meningkatkan keupayaan, kecekapan dan keselesaan pengguna. Kita perlu meletakkan teknologi komunikasi dalam perspektif yang betul.

Ia sememangnya satu peralatan tapi ia mempunyai pelbagai tujuan penggunaan. Kalau baik tujuannya, maka baiklah peralatan komunikasi itu. Jika buruk, maka buruklah ia.

Dalam konteks evolusi komunikasi kini, kesan penggunaan telefon bimbit bagi tujuan menghantar MMS bergantung kepada pengguna. Jika MMS yang dihantar adalah gambar atau video yang tidak baik atau memalukan, yang patut dipersalahkan adalah pengguna, bukannya telefon bimbit atau teknologi berkenaan.

Perlu diingatkan, setiap kesalahan membabitkan teknologi komunikasi pada ruang dunia elektronik atau internet adalah seperti kesalahan yang dilakukan di dunia nyata.

Pesalah boleh didakwa atau dibawa ke mahkamah jenayah atau sivil. Contohnya, penyebaran atau penjualan MMS yang tidak baik mungkin boleh dikategorikan sebagai jenayah dan boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan atau Akta berkaitan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebagai kelompok yang paling menggemari inovasi teknologi melalui penjualan pelbagai produk seumpamanya, apa yang perlu diberi pertimbangan generasi muda ketika memilih produk atau gajet terutama dalam konteks perlindungan andai berlaku penyebaran MMS? Lebih-lebih lagi gajet seperti telefon bimbit atau peralatan multimedia lain?

Dalam membuat pilihan bagi produk atau gajet, ia terpulang kepada individu itu sendiri. Ini kerana setiap individu mempunyai cita rasa berbeza dan tujuan berlainan dalam memilih gajet.

Golongan remaja misalnya, mungkin lebih cenderung memilih telefon bimbit yang lengkap dengan akses internet, muat turun lagu, gambar dan sebagainya. Berbeza pula golongan dewasa di mana mereka lebih menimbangkan ciri-ciri gajet yang boleh dimanfaatkan dalam pekerjaan mereka. Contohnya, kemudahan internet untuk berurusan melalui emel.

Semuanya bergantung kepada pengguna dan bagaimana mereka hendak menggunakan peralatan itu. Kuasa membeli terletak di tangan dan kemampuan pengguna itu sendiri.

Bagaimana SKMM mahu menangani isu pengaruh penggunaan negatif telefon bimbit dan produk multimedia lain termasuk laman sosial di kalangan generasi muda? Apakah ada program khusus seumpamanya?

Tanggungjawab untuk menggunakan teknologi dan kandungan komunikasi sama ada secara positif atau negatif terletak pada tangan individu itu sendiri. Isu pengaruh penggunaan negatif telefon bimbit dan produk multimedia lain termasuk laman sosial di kalangan generasi muda adalah sangat subjektif.

Ini kerana alat komunikasi sama ada internet, laman web, telefon bimbit, kamera atau lain-lain peralatan teknologi akan sentiasa berubah dan bertambah canggih seiring dengan arus kemodenan.

Sehubungan itu, tindakan menyekat perkembangan teknologi komunikasi dan perkembangan industri kandungan komunikasi bukanlah penyelesaian terbaik dalam jangka panjang. Jika kita menggunakannya secara baik dan positif, ia akan membawa banyak manfaat. Ia berbalik semula kepada diri pengguna dan bergantung kepada motif asal pengguna untuk memiliki peralatan komunikasi atau mendaftar diri di dalam laman sosial sedia ada.

Jika kita tidak melakukan sesuatu perkara tidak baik atau yang dianggap suatu kesalahan di dunia realiti, mengapa pula kita membuatnya di dunia elektronik? Jika dalam kehidupan realiti kita boleh menjaga maklumat peribadi, mengapa tidak melakukan perkara yang sama di talian? Pengguna juga perlu peka akan kesan di sebalik tindakan menyebar atau mendedah maklumat atau gambar peribadi menerusi teknologi komunikasi.

Kewujudan media baru kini menjadi satu topik yang hangat diperkatakan. Ini ditambah pula dengan wujudnya saluran media baru seperti blog, YouTube, Flickr, Facebook dan lain-lain.

Kemudahan mengakses Internet secara global dan pertambahan jumlah pengguna Internet setiap hari membuka ruang komunikasi tanpa sempadan dan kemudahan berkongsi apa juga bentuk fail.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia turut menerima perkembangan rangkaian teknologi digital dan platform media baru. Sayangnya, kurang kajian tempatan yang dilakukan untuk mengkaji subjek media baru ini.

Sehubungan itu, baru-baru ini SKMM memberi geran penyelidikan berjumlah lebih RM350,000 kepada empat institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk membuat kajian mengenai Kandungan Media Baru.

Geran penyelidikan ini datang tepat pada masanya di mana kesedaran dan pendidikan mengenai penggunaan media baru secara positif amat diperlukan. Jika dilihat, jumlah kes penyalahgunaan saluran media baru dan kandungan yang dilaporkan amat kecil berbanding jumlah pengguna media baru yang menggunakannya secara positif.

Sebenarnya, di kebanyakan laman sosial, ada kaedah mengawal maklumat peribadi. Pengguna diingat menggunakan kaedah kawalan ini supaya mereka dapat mengawal siapa antara rakan mereka yang boleh melihat maklumat peribadi di laman terbabit. Usah salahkan orang lain kalau pengguna sendiri tidak melakukan kawalan.

Andaikan seseorang pemilik telefon bimbit teraniaya hingga aksi visual atau rakaman video yang sepatutnya disimpan untuk tujuan peribadi, disebar pihak lain. Apakah tindakan yang boleh diambil mangsa? Apakah peruntukan undang-undang yang ada mencukupi untuk melindungi mangsa?

Bagi mereka yang teraniaya akibat aksi visual atau rakaman video peribadi yang disebarkan pihak lain, individu terbabit boleh mengadu kepada Biro Aduan SKMM dengan menghubungi 1-800-888-030.

Bagi membendung penyalahgunaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta) memberi kuasa kepada SKMM mengikut Seksyen 211 dan 233 untuk mengawal selia penggunaan perkhidmatan dan kemudahan. Ini supaya ia tidak disalah guna sebagai platform menabur fitnah.

Seksyen 211 melarang pemberian perkhidmatan kandungan yang mempunyai unsur-unsur lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, menggugat atau mengganggu orang lain.

Seksyen 233 pula melarang penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi membuat, mewujud, meminta atau penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

Apabila disabitkan di bawah peruntukan Akta di atas, mereka boleh didenda RM 50,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimana SKMM melihat keghairahan syarikat pembekal kandungan dan pengendalian telekomunikasi memperkenalkan pelbagai produk multimedia bagi menarik jualan terutama di kalangan generasi muda? Apakah wujud suatu bentuk pengawasan perlu diberi kepada syarikat terbabit?

Rangka regulatori sektor komunikasi dan multimedia bertujuan menyediakan persekitaran industri yang berdaya saing. Selain itu, rangka ini dapat membangunkan aplikasi dan produk baru yang menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi serta perkembangan masyarakat supaya celik IT.

Pembangunan produk baru bagaimanapun tidaklah dikawal selia satu persatu. Namun, ia tertakluk kepada piawaian dan kehendak dari segi teknikal, prinsip menetapkan harga atau kadar, perlindungan pengguna serta penggunaan sumber terhad seperti spektrum radio-komunikasi.

Selain pengawal seliaan secara langsung, SKMM menggalakkan amalan pengawal seliaan kendiri melalui empat Forum Industri iaitu Forum Kandungan, Forum Pengguna, Forum Teknikal dan Forum Akses.

Antara yang lebih relevan untuk pengguna ialah Forum Kandungan dan Forum Pengguna yang sudah sekian lama membangunkan peraturan atau Kod Kandungan dan Kod Pengguna Am untuk diamalkan pemberi perkhidmatan berkaitan.

Kedua-dua kod ini adalah luas dan menyeluruh serta dibangunkan antara pihak pengguna serta industri dengan mengambil kira Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; undang-undang lain; peraturan dan garis panduan lain melalui proses perundingan dan siasatan awam komprehensif.

Kod yang dibangunkan ini dapat menangani isu berkaitan kandungan dan penggunaan yang timbul dari produk dan perkhidmatan baru termasuk media baru.

Kod ini boleh dirujuk di laman web SKMM di Kod Pengguna Am : www.skmm.gov.my/registers/cma/commindcode/pdf/GeneralConsumerCode.pdf ; dan Kod Kandungan: www.skmm.gov.my/facts_figures/codes_gl/guidelines/pdf/ContentCode.pdf.

Peruntukan undang-undang sedia ada dan kod etika yang dibangunkan adalah mencukupi untuk menangani isu ini. Forum Pengguna atau CFM (Communications and Multimedia Consumer Forum) dan Forum Kandungan atau CMCF (Communications and Multimedia Content Forum) memainkan peranan penting dalam membantu memupuk sikap kawal selia kendiri di kalangan rakyat.

Selain itu, beberapa program kesedaran awam dianjurkan. Kedua-dua forum ini menyediakan saluran untuk aduan; mengendalikan pertikaian dan rungutan pengguna; mencadangkan tatacara penyelesaian pertikaian alternatif dan mengelakkan kes mahkamah jika anda rasa terpedaya dan mungkin juga boleh membantu mencadangkan tatacara pembayaran pampasan untuk pengguna.

Forum ini boleh dihubungi di http://www.cmcf.org.my bagi Forum Kandungan dan http://www.cfm.org.my bagi Forum Pengguna.

Kedua dua forum ini dianggotai ahli dari pihak pembekal perkhidmatan, syarikat telekomunikasi, stesen penyiaran, dan pihak permintaan (demand side) seperti pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan kepentingan awam, pertubuhan pengguna dan institusi penggajian tinggi. Dengan itu pandangan dan pendirian yang luas digabungkan dalam menangani isu-isu yang berbangkit.

Self censorship mungkin menjadi pendekatan terbaik bagi mengelak mana-mana individu terjebak dalam penyebaran MMS tidak bermoral ini. Apa pandangan SKMM mengenai perkara ini dan mengapa generasi muda mudah sangat terdorong melakukannya? Boleh anda berikan tip mengelak diri menjadi mangsa penyebaran MMS?

Dalam persekitaran pelbagai sumber dan media kandungan baru serta aplikasi yang diperkenalkan pemberi perkhidmatan, kawalan kendiri adalah satu pendekatan yang difikirkan sesuai dalam konteks ini.

Antara asas penting untuk menjayakan kawalan kendiri adalah pengetahuan dan maklumat di kalangan pengguna mengenai cara berinteraksi dengan teknologi dan perkhidmatan yang disediakan serta hak dan tanggungjawab mereka.

Pengguna tidak seharusnya memikirkan mereka boleh berbuat sesuka hati tanpa batasan atau tanggungjawab. Mereka perlu sensitif kepada sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum serta peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Oleh itu, SKMM, CMCF dan CFM sedang meningkatkan kesedaran berhubung perkara ini di kalangan pengguna dan industri. Kita juga berharap pihak lain seperti media massa, institusi pengajian tinggi, sekolah dan ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik generasi muda mengenai penggunaan teknologi dan media baru secara positif.

Kawalan kendiri dan pelaksanaan tanggungjawab di kalangan semua peringkat masyarakat adalah pendekatan paling sesuai untuk mewujudkan budaya sihat dan positif dalam penggunaan media dan teknologi.

INFO: Kajian Pengguna Telefon Bimbit 2007 kelolaan SKMM

# Mengikut Kajian Pengguna Telefon Bimbit 2007 yang dikelolakan SKMM, golongan dewasa berusia antara 20 hingga 49 tahun adalah golongan pengguna telefon bimbit tertinggi dengan peratusan 66.8 peratus.

# Ini diikuti golongan pra remaja dan remaja berusia sehingga 19 tahun dengan 20.9 peratus. Golongan warga emas yang berusia 50 tahun ke atas hanya 12.3 peratus.

# Trend penggunaan telefon bimbit bagi golongan pra remaja dan remaja dilihat berterusan, walaupun menurun pada tahun 2007. Bagi golongan ini, peratus penggunaan adalah sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2005, 20.5 peratus pada tahun 2006 dan 20.9 peratus pada tahun 2007.

# Bagi kumpulan umur yang lebih spesifik, golongan berusia 20 hingga 24 tahun adalah paling ramai menggunakan telefon bimbit dengan peratusan sebanyak 19.9 peratus.

Kajian Pengguna Telefon Bimbit di kalangan rakyat Malaysia adalah berdasarkan sampel 4,925 pelanggan telefon bimbit yang dipilih secara rawak melalui sistem komputer dan mendapat maklum balas 3930 responden.

# Kajian juga melihat aspek negeri paling ramai pengguna telefon bimbit, etnik, umur dan jantina pengguna serta pecahan sektor pengguna bandar dan luar bandar. Selain itu, kajian itu juga mengandungi maklumat berkenaan penggunaan SMS; akses Internet melalui telefon bimbit; kesedaran pengguna terhadap Kemudahalihan Nombor (MNP) dan lain-lain lagi.

# Kajian ini boleh diperoleh di laman http://www.skmm.gov.my/facts_figures/stats/pdf/Handphone_Users_Survey_2007.pdf
Sumber : http://www.bharian.com.my